Portal Rasmi FELCRA BerhadKementerian Pembangunan Luar Bandarministry-of-finance-malaysia-logo-E9D4C94BFD-seeklogo.com

        Kuala Lumpur

9.3.2025 - Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Bin Hamidi mengumumkan Keuntungan Boleh Agih Akhir Tahun 2024 Projek Peserta FELCRA Berhad

Apr 9, 2025, 09:28 AM
News Source Url :
Select a news type : Internal News

9.3.2025 - Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Bin Hamidi mengumumkan Keuntungan Boleh Agih Akhir Tahun 2024 Projek Peserta FELCRA Berhad (FELCRA) berjumlah RM192.5 juta.

Beliau berkata, agihan keuntungan itu akan dibayar secara berperingkat bermula hari ini dan memanfaatkan lebih 68,400 peserta di seluruh negara, melibatkan sebanyak 583 projek untung.
Menurutnya, sebelum ini pembayaran Interim 1 berjumlah RM96 juta kepada peserta pada Jun 2024 telah dilaksanakan diikuti pembayaran Interim 2 pada September 2024 berjumlah RM129 juta.
"Saya mengucapkan tahniah kepada FELCRA atas kejayaan mengekalkan prestasi cemerlang, dengan peningkatan keuntungan lebih RM192.5 juta atau 154 peratus berbanding tahun 2023.
"Ini adalah bukti dedikasi dan kerja keras seluruh pasukan dalam memperkasakan ekonomi luar bandar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama FELCRA di Kampung Kuala Akob di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, peningkatan tersebut menjadikan purata pendapatan bersih setahun seorang peserta meningkat kepada RM4,420.
Beliau berkata, kejayaan ini didorong oleh beberapa faktor utama termasuk peningkatan hasil ladang kelapa sawit dalam Program Penyatuan dan Pemulihan (P&P) dengan mencatat peningkatan 9.24 peratus atau 1.44 metrik tan per hektar.
Selain itu, katanya pelaksanaan strategi penjimatan kos pengeluaran turut menyumbang kepada kejayaan ini dengan pengurangan kos lebih RM401 per hektar sekali gus meningkatkan keuntungan boleh agih kepada peserta.
"Matlamat FELCRA adalah untuk memastikan setiap peserta menerima agihan keuntungan minimum RM150 setiap ekar setiap bulan atau RM1,800 setiap ekar setahun sebagai jaminan kesejahteraan kepada peserta," jelas beliau.
Bayaran keuntungan boleh agih akhir tahun 2024 untuk projek peserta FELCRA Berhad yang berjumlah RM192.51 juta adalah satu pencapaian yang penting bagi para peserta program tersebut. Bayaran ini merupakan hasil daripada usaha dan sumbangan mereka dalam projek yang dilaksanakan oleh FELCRA Berhad, yang berperanan untuk membantu meningkatkan taraf hidup para peserta melalui pelbagai program pembangunan ekonomi.
Jumlah ini menunjukkan komitmen FELCRA Berhad dalam memberi manfaat ekonomi kepada komuniti luar bandar dan juga memberi insentif kepada para peserta untuk terus meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil projek mereka. Pembayaran keuntungan ini juga mungkin membantu para peserta dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan membangunkan komuniti masing-masing.

475521423_122157110768341114_3195683871953436147_n